Malaysia sebelum berdiri teguh sebagai negara
membangun telah melalui pengalaman pahit. Bermula penjajahan Portugis, kemudian
Inggeris, Belanda, Jepun, kemudian Inggeris lagi, pengalaman tersebut tidak
mahu diulangi lagi. Teriakan keramat ‘Merdeka’ pada 31 Ogos 1957, tidak semudah
dilalui dan memaknakan kemerdekaan tersebut. Perpaduan kaum amat penting untuk
memastikan negara tidak diganggu gugat oleh negara asing. Kita tiada Dol Said
untuk menentang kemaraan penjajah pada tahun 1826 di Naning, atau Rentap
menentang kubu Raja Brooke di Nanga Skrang pada tahun 1983, Dato’ Maharajalela
membunuh J.W.W Birch 1875 di Pasir Salak, atau Mat Salleh yang gagah mengetuai
gerakan menentang Inggeris pada tahun 1884 hingga 1900 di Sabah. Yang kita ada
ialah barisan pemimpin negara yang diketuai oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri
Najib Tun Abdul Razak. Tanpa kegagahan seperti tokoh silam, yang perlu hanyalah
kita bersatu padu tanpa mengira kaum dan agama berlandaskan semangat Malaysia,
bak kata peribahasa bersatu teguh, bercerai roboh.
Semangat nasionalisme ialah perasaan cinta akan negara dan perasaan ingin membebaskan tanah air daripada belenggu penjajahan. Oleh itu, perpaduan kaum telah dapat memupuk semangat nasionalisme yang mendalam kepada semua kaum di negeri ini tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit. Berdasarkan senario hari ini, rakyat Malaysia haruslah bertanggungjawab menerima segala adat resam dan budaya yang berlainan agama dengan fikiran yang terbuka agar dapat membendung penindasan seperti di negara-negara Thailand, Afrika dan Indonesia. Kata peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya perlulah dipraktikkan dalam membentuk dan menanam semangat ini kepada anak-anak sejak kecil lagi. Sebagai contoh, nyanyian lagu kebangsaan dan menghayati Rukun Negara di sekolah sebagai ikrar untuk mendisiplinkan diri. Maka dengan itu, mereka akan sedar tentang kepentingan bersatu padu dan hormat-menghormati. Oleh itu, kita perlulah berganding bahu dan bukannya bersifat berat tulang dalam membajai semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat terutamanya anak-anak yang masih berada di bangku sekolah.
Selain itu, semangat perpaduan juga telah dapat
menarik pelancong asing untuk melawat negara kita. Dengan keunikan masyarakat
majmuk yang hidup dalam keadaan harmoni, para pelancong akan tertarik untuk
mempelajari budaya rakyat Malaysia. Hal ini demikian kerana, mereka akan lebih
selamat dan selesa apabila berada di negara ini walaupun Malaysia turut
tergugat dengan kemunculan wabak influenza H1N1 yang menjadi perbualan hangat
negara-negara di dunia ini, namun industri pelancongan tetap maju dan
berkembang dari tahun ke tahun kerana adanya perpaduan kaum. Timbalan Menteri
Pelancongan ada menyatakan bahawa dengan adanya layanan mesra yang diberikan
oleh rakyat Malaysia kepada pelancong asing, industri pelancongan akan terus
mendapat tempat yang tertinggi walaupun agak berkurangan dengan masalah
penularan wabak H1N1. Tidak dapat dinafikan bahawa, rakyat Malaysia dapat
berinteraksi dengan baik antara satu sama lain walaupun berbeza agama dan
bangsa. Sebagai contoh, di sekolah menengah, para pelajar yang terdiri dengan
pelbagai kaum dapat belajar dalam satu sekolah yang sama. Seperti peribahasa
Melayu ada menyatakan bahawa muafakat membawa berkat. Oleh itu, jelaslah perpaduan kaum
bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik malah dapat menarik lebih ramai
pelancong asing ke negara kita.
Seterusnya, sebagai rakyat
Malaysia yang juga merupakan golongan majoriti di negara ini tidak terlepas
daripada masalah pergaduhan dan penindasan yang pernah berlaku di negara kita.
Pastinya sudah ada tertanam dalam pemikiran kita tentang rusuhan kaum yang berlaku
pada 13 Mei 1969 yang berlaku di negara kita. Pada masa itu, semua pemimpin dan
rakyat telah berusaha untuk menamatkan masalah tersebut. Lantasan itu, semua
penduduk di negara ini harus mengamalkan konsep perpaduan kaum dan bukan
bersikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing untuk mengelakkan
perpecahan kaum. Bahkan dengan perpaduan kaum juga dapat menjamin keamanan negara. Hal ini demikian kerana,
masyarakat yang bersatu padu dapat hidup berbaik-baik dan menghormati kaum lain
sejajar dengan dasar luar Malaysia yang digubal selepas Perang Dunia Kedua, hal
ini sekali gus dapat menjamin keamaan setempat. Peribahasa ada menyatakan bersatu kita teguh, bercerai kita
roboh. Perealiasasian pepatah ini dapat dibuktikan
melalui kerjasama yang erat antara kaum. Sebagai contoh, kaum Cina menghormati
adat dan budaya kaum Melayu dan India. Memang tidak dapat dinafikan, walaupun
negara sudah mengamalkan konsep perpaduan, masih ada lagi rusuhan-rusuhan kecil
yang berlaku di negara ini seperti demontrasi jalanan yang berkaitan dengan
Akta ISA. Maka jelaslah bukan sahaja perpaduan kaum menjadi kunci kepada
keharmonian dan keamanan yang dinikmati oleh rakyat bahkan minda dan pemikiran
juga haruslah diisi dengan nilai-nilai yang positif agar tidak berlaku
permusuhan
Dasawarsa ini, pendidikan menjadi tunjang kepada
perpaduan negara. Tidak dapat dinafikan bahawa sekolah dan pendidikan memainkan
peranan yang sangat penting dalam pembinaan dan pembentukan warga negara dan
rakyat yang bersatu padu. Sememangnya telah dicatatkan dalam Falsafah
Pendidikan Kebangsaan bahawa ‘Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha
berterusan ke arah memperkembang lagi pontensi individu secara menyeluruh dan
bersatu padu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi
intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan
kapada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu
pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkemampuan mencapai
kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran
masyarakat dan negara.’ Secara tidak langsung, dasar ini dapat melahirkan satu
masyarakat Malaysia yang bersatu padu dan berintegrasi seperti yang dihasratkan
dalam Rukun Negara melalui penggunaan dan penghayatan kurikulum yang bersepadu,
penggunaan bahasa dan sistem peperiksaan yang sama serta penglibatan aktif
pelajar dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum yang dirancang dan dilaksanakan
sepanjang sesi persekolahan pelajar. Izharlah bahawa perpaduan kaum penting
dalam menjana masyarakat Malaysia yang mengutamakan semangat bersatu padu dalam
memenuhi konsep 1Malaysia seperti yang dihasratkan oleh kerajaan.
Kurikulum yang dibina bukan sahaja bertujuan untuk memberikan ilmu pengetahuan dan maklumat berbentuk akademik sahaja, bahkan memupuk semangat perpaduan. Kurikulum ini berorientasiakan suasana Malaysia dan dilaksanakan melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) mulai tahun 1983. Mata pelajaran Pendidikan Islam, Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah serta Pendidikan Moral yang diperkenalkan dapat mengukuhkan pegangan agama, menanam sifat-sifat mulia seperti tolong menolong, bekerjasama dan berfikiran optimis serta membentuk tingkah laku yang bersopan santun dan saling menghormati sesama manusia. Mahukah rakyat negara kita bersikap seperti kacang hantu? Yang hanya menambahkan lagi masalah di negara kita secara tidak langsung mencemarkan nama baik negara. Janganlah kita semua memandang enteng terhadap peranan pendidikan dalam mewujudkan semangat perpaduan kerana pendidikan merupakan benteng utama insan daripada ditipu oleh musuh-musuh negara yang berhajat untuk menghancurkan perpaduan kaum di negara kita. Mahukah perkara ini berlaku kepada kita dan generasi akan datang? Fikirkanlah, sesungguhnya melalui pendidikan sahaja yang dapat menjamin keutuhan perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Intihanya, sistem pendidikan memainkan peranan penting dalam pemupukan semangat perpaduan agar negara terpelihara daripada tipu helah pihak musuh.
No comments:
Post a Comment